Artikel Hasrizal : Masih Ada Betul Yang Betul Dan Salah Yang Salah


“Kita kenalah berlapang dada. Tidak semua orang fikir macam kita. Janganlah rigid sangat!” kata seorang lelaki.
“Apabila dia cakap macam itu, tidak semestinya dia bermaksud tidak baik. Mungkin cara dia salah. Tapi niat dia baik!” ulas seorang perempuan.
“Tuhan ciptakan manusia berbeza-beza. Takkanlah semua kena sama. Relaks la bro!” tegas seorang yang lain pula.
Kata-kata seperti ini sering kita dengar. Malah sering juga diajukan kepada kita sendiri. Semasa kita nampak sesuatu itu jelas kesalahannya dan memerlukan pembetulan, tiba-tiba pembetulan kita dibidas semula, bukan dengan pembetulan berbentuk hujah berbalas hujah, tetapi mengguna pakai hujah universal iaitu, manusia diciptakan Tuhan berbeza-beza.
Semakin lama, semakin melarat.
Semua benda tidak muktamad.
Semua benda ada sisi lain.
Mungkin ada kebenarannya. Tetapi kesan besarnya ialah seperti langsung tiada apa yang muktamad dalam kehidupan ini. Hingga tidak tahu apa yang hendak dipegang sebagai ‘pegangan’ dalam hidup ini. Hidup tanpa panduan, semuanya betul belaka.
Relatif.
Subjektif.
Hujahnya seperti ada. Mungkin sahaja pantas disandarkan kepada ayat utama pada membicarakan perbezaan, keunikan dan keistimewaan manusia:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujuraat 49: 13]
Tetapi kita perlu ingat.
Memang benar Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza. Tujuannya juga sangat jelas, bukan untuk berbalah lagi bermasalah. Tetapi untuk kenal mengenal, mengambil tahu antara satu sama lain.
Tetapi sebelum Allah menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan-Nya berbeza-beza, Allah terlebih dahulu mendatangkan 12 ayat di dalam surah yang sama, berbicara tentang apa yang betul dan apa yang salah dalam berkelakuan kita. Bahawa perbezaan bukan alasan untuk kita bebas berkelakuan apa sahaja atas nama perbezaan.
Ada yang betul.
Ada yang salah.
Yang betul itu betul.
Yang salah itu salah.
Semua itu digariskan dengan jelas. Kemudian barulah datang kenyataan berbentuk kesimpulan, bahawa manusia itu memang pelbagai. Lalu cara mengenal lelaki dan mengenal perempuan, mengenal satu kaum, dan satu kaum yang lain, berbeza-beza.
Demikian satu penegasan penting Surah al-Hujuraat.
Surah al-Akhlaq.
HASRIZAL
KUCHING

No comments: