Ummu Mukhlisah : Menjadi Ibu Kepada Generasi yang Hebat

penulisan hebat memotivasi diri ^^
Pendahuluan – Kisah bayi koma
Ketika blog-walking, saya terjumpa berita yang ditulis oleh seorang doktor tentang kisah seorang bayi berusia empat bulan yang mengalami koma setelah diberi susu formula yang dicampurkan air yang melebihi sukatan yang ditetapkan.
Hal ini terjadi disebabkan ibu kepada bayi tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmubahawa bayi bawah 6 bulan tidak boleh diberikan air lebih daripada kadar yang sepatutnya kerana air tersebut akan menjadi racun kepada bayi tersebut. Akibatnya, bayi tersebut menjadi sawan dan kemudiannya koma tidak sedarkan diri.
Apabila membaca kisah tragis tersebut, hati menjadi pilu.  Saya terfikir, kekurangan ilmu (dalam konteks di atas, ilmu sains) pada seorang ibu mengakibatkan nyawa si bayi terancam. Bagaimana pula kekurangan ilmu deen dan ilmu-ilmu lain? Apakah kesan dan akibatnya kepada si anak nanti?
Bahkan dalam urusan menjaga kesihatan jasmani anak sekalipun, seorang ibu memerlukan ilmu yang cukup. Inikan pula dalam urusan menjaga dan memperkembangkan seluruh potensi anak dalam aspek ruhani, emosi dan intelektual anak agar dia membesar menjadi seorang Hamba Allah yang cinta dan patuh kepada Rabbnya. Tentu seorang ibu itu memerlukan ilmu yang luas, setuju?
Maka, di sini ingin saya kongsikan pula kunci kedua untuk menjadi seorang ibu generasi  yang luas biasa iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas.

Ilmu itu membezakan
Akhowat yang dikasihi Allah SWT,
Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar (39): 9 yang bermaksud;
“Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
Begitu juga dalam konteks kita para muslimah, dalam usaha kita untuk menjadi seorang ibu generasi. Adalah amat berbeza seorang ibu yang memiliki ilmu dengan seorang ibu yang tidak memiliki ilmu dalam mengurus dan mengendalikan anak-anaknya. Lihat saja dua sketsa dibawah ini sebagai renungan bersama.
Dua orang ibu menghantar anak masing-masing yang berumur 3 tahun ke sebuah taska. Perhatikan cara kedua ibu ini mengendalikan anak masing-masing.
Situasi A
Anak      : Ummi, kenapa kakak perlu ke sekolah? (bertanya dengan wajah yang monyok)
Ummi    : Kakak rasa kenapa ya?
Anak      : Sebab ummi nak kakak pandai.
Ummi    : Alhamdulillah, bagus anak ummi.
Anak      : Tapi, Ummi, kenapa kakak mesti belajar di sini? Kalau belajar di rumah tak boleh ke?
Ummi    : Kakak solehah, kakak rasa kenapa ummi hantar kakak ke sini?
Anak      : Sebab Ummi perlu pergi kerja ke?
Ummi    : Bijak anak ummi ni…! Ummi perlu bekerja. Kakak duduklah baik-baik di sekolah ya. Nanti petang ummi ambil ya. Insya-allah.
Anak      : Tapi, Kenapa ummi perlu pergi kerja?
Ummi    : Kakak rasa kenapa?
Anak      : Macam ummi selalu kata, “Sebab ummi nak beri yang terbaik untuk anak-anak ummi..”
Ummi    : Masya-allah, anak ummi sangat pandai! Okay sayang, ummi pergi dulu. Ummi sayang kakak selalu. Doakan ummi ya!
Anak      : …….. Okay…..

Situasi B
Anak      : Ummi, kenapa kakak perlu ke sekolah?
Ummi    : Sebab kakak perlu belajar banyak perkara.
Anak      : Kenapa kakak mesti belajar, ummi? Kenapa kakak tak boleh belajar di rumah?
Ummi    : Kakak, kan ummi kata kakak kene pergi sekolah. Pergi je la. Petang nanti ummi datang ambil ya.
Anak      : Nak balik rumah…. Tak nak pergi sekolah….!!
Ummi    : Shh… Jangan nangis-nangis. Jangan nakal-nakal. Ummi pergi dulu. Assalamu’alaikum.
Anak      : Waaaaa (menangis)

Sisters yang dikasihi Allah SWT,
Berdasarkan situasi di atas, apakah yang dapat anda simpulkan?
Kelihatan ibu di situasi A lebih tahu tentang psikologi perkembangan anaknya berbanding ibu di situasi B, bukan?
Mengikut kajian ilmu psikologi, salah satu tanda perkembangan sihat pada akal anak-anak ialah mereka mula banyak bertanya. Pertanyaan mereka disebabkan oleh banyak faktor, sama ada si anak benar-benar ingin mengetahui, atau pertanyaannya itu hanya merupakan cara mereka hanya mahu menzahirkan protes mereka terhadap sesuatu tindakan.
Si ibu di situasi A meraikan kesedihan dan pertanyaan anaknya dengan bertanyakan soalan kembali dan memberikan penjelasan dengan penuh kesabaran kepada anaknya. Tindakan si ibu ini meninggalkan kesan positif kepada emosi anak yang ditinggalkan. Sebaliknya, ibu di situasi B tidak berbuat demikian, maka kesan kepada anak yang ditinggalkannya juga berbeza.
Kedua-dua ibu di atas tentu sahaja amat menyayangi anak-anak mereka, tetapi bagaimana mereka mengendalikan anak mereka sedar ataupun tidak dipengaruhi oleh ilmu yang mereka ada.
Maka, dalam usaha kita untuk menjadi seorang ibu yang luas biasa, yang menjadi batu asas kepada sebuah generasi yang hebat, tentu saja kita mesti berusaha untuk memiliki sesuatu yang dapat mengangkat darjat kita di sisi Allah SWT iaitu ilmu pengetahuan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah (58) : ayat 11 yang bermaksud
“…nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.”

 Ilmu apa yang perlu dikuasai itu?
“Ilmu Allah ni luas la, awak.. Ilmu apa yang saya perlu kuasai sebagai syarat minimum untuk saya menjadi seorang ibu yang baik?” tanya seorang teman kepada saya.
Saya terdiam. Betul juga tu. Ilmu Allah SWT itu luas, ilmu apa yang harus dikuasai seorang wanita muslimah dalam usaha untuk mempersiapkan diri menjadi seorang ibu generasi?
Ketika sibuk merujuk bahan-bahan fikrah yang ada, tiba-tiba suami tercinta menghulurkan buku catatannya.
“Sayang, ini senarai ilmu yang seorang murabbi (pendidik) perlu ada. Al-Marhum Ustaz Dahlan yang kongsikan dulu masa di sekolah. Mana tau ada manfaatnya.”
Menarik dan sangat bermanfaat. Senarai yang memang dicari-cari!
Maka di sini, saya kongsikannya.

1)      Ilmu syara’ (syari’at)
Ilmu yang pertama harus dimiliki oleh seorang ibu generasi ialah ilmu syara’.
Apa itu ilmu syara’?
Ilmu syara’ atau syariat islam ialah ilmu terkait hukum dan aturan Islam  yang sempurna dan menyeluruh mencakupi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini. Contoh ilmu syara’ yang dekat dengan kita ialah ilmu tentang kewajipan solat, cara-cara mendirikan solat, ganjaran mendirikan solat dan hukuman meninggalkan solat. Sumber utama ilmu syara’ ini adalah Al-Quran, Hadith, Ijma’, Qiyas dan Ijtihad. Namun, tidak dapat tidak, ilmu syara’ ini mesti ditelusuri dengan keimanan total kepada Allah taala.
Sebagai seorang ibu Muslimah yang berhajat melahirkan anak-anak Muslim yang mencintai Deen mereka , sanggupkah kita membiarkan diri kita jahil pada ilmu yang hakikatnya wajib (fardu ain) dihayati oleh setiap umat Islam ini? Tentu jawapannya tidak, bukan?
Bagaimana seorang Muslimah dapat mempelajari ilmu ini?
Antara jalan-jalannya ialah dengan banyak membaca buku-buku Islam dan kerap menghadiri program-program islam seperti usrah, seminar dan nadwah yang dianjurkan di tempat masing-masing. Selain itu, para wanita boleh mempelajari ilmu syara’ dalam halaqoh keluarga yang diadakan oleh suami atau ayah masing-masing (note: para suami dan ayah, ini tanggungjawab anda yang mesti ditunaikan!). Tak lupa juga, kepada mereka yang ada kemudahan televisyen dan radio, anda juga boleh mengikuti program islam yang dikeudarakan terutama dalam stesen tv dan radio islamik seperti TV Al-Hijrah dan IKIM.
Insya-allah, sekiranya kita serius dalam menuntut ilmu Islam yang akan membantu kita menjadi Muslim yang lebih baik, besar keberkatan yang dijanjikan.
Teringat kata-kata seorang ‘ulama mujtahid, Imam Al-Maududi dalam kitabnya, Dasar-dasar Islam;
“Anda selalu bersikap penuh perhatian dalam mengerjakan sawah ladang anda, mengairi dan melindungi tanaman-tanaman anda, memberi makan ternak anda dan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang bersangkut paut dengan matapencarian anda yang lain. Kerana, bila anda tidak bekerja dengan penuh perhatian, anda pasti akan kelaparan dan kehilangan sesuatu yang sangat berharga bagi anda, yakni nyawa anda. Maka, kenapa anda tidak bersikap serius dan bersunguh-sungguh dalam mencari ilmu pengetahuan, yang pada pengetahuan inilah bergantungnya hakikat anda disebut sebagai seorang Muslim dan hidup seterusnya sebagai seorang Muslim?”

2)      Ilmu waqi’ (semasa)
Seterusnya, ilmu kedua yang diperlukan oleh seorang ibu generasi ialah ilmu waqi’.
Apa itu ilmu waqi’?
Ilmu waqi’ bermaksud ilmu realiti semasa. Ilmu-ilmu ini adalah satu keperluan dan ilmu harus dipelajari dengan berpaksikan iman dan syara’. Sumber ilmu ini adalah melalui kajian, pemerhatian, pengembaraan dan pengalaman mereka yang mengkaji. Contohnya ilmu waqi’ yang mesti dikuasai ialah ilmu penjagaan bayi, ilmu pemakanan sihat bayi dan kanak-kanak, ilmu mengajar anak berbahasa dan sebagainya.
Ilmu ini sangat penting yang sekiranya kita tidak milikinya berkemungkinan mengancam nyawa si anak seperti apa yang terjadi dalam kisah yang saya kongsikan di permulaan tulisan ini.
Bagaimana anda boleh dapatkan ilmu waqi’ ini?
Sama sahaja. Banyaklah membaca bahan-bahan ilmiah dan bermaklumat seperti majalah Mami&Baby, website Baby centre dan lain-lain. Hadirkanlah diri ke kelas-kelas atau seminar-seminar keibubapaan yang dianjurkan. Tontonlah rancangan-rancangan dokumentari yang terkait dengan keibubapaan.
Bunyinya mudah, bukan? Tapi, semaklum saya, berapa ramai ibu yang tidak ambil berat dengan usaha mendapatkan ilmu-ilmu realiti semasa ini.

3)      Ilmu nafs (psikologi)
Akhir sekali, ilmu yang amat-amat diperlukan oleh seorang ibu generasi dalam menghasilkan anak-anak yang hebat ialah ilmu nafs atau bahasa modennya ilmu psikologi.
Apa itu ilmu nafs?
Ilmu nafs ringkasnya ialah ilmu mengenal fitrah manusia. Firah manusia ini termasuklah jiwa, emosi, personaliti, perasaan dan watak manusia. Sumber ilmu ini boleh dirujuk daripada kajian, pemerhatian, pengembaraan dan pengalaman pengkaji yang tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber asas islam iaitu Al-Quran dan Assunnah.
Hakikatnya ilmu nafs ini adalah sebahagian daripada ilmu waqi’. Namun, Al-Marhum Ustaz Dahlan menyebutnya secara khusus kerana beliau ingin menegaskan kepentingan penguasaan ilmu ini bagi seorang murabbi (pendidik).
Begitulah juga kita sebagai seorang ibu, pendidik utama dan pertama kepada seorang bayi. Amat penting kita menguasai ilmu mengenal fitrah jiwa, emosi dan perasaan anak kecil kita demi memastikan kita dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik mereka dengan sebaik mungkin.
Contoh pengaplikasian ilmu nafs adalah seperti dua dialog di atas.


Penutup – Kisah mama bosan


Akhowat yang dikasihi Allah SWT,
Telah saya mulakan tulisan ini dengan sebuah kisah benar, maka ingin saya akhiri tulisan ini  juga dengan sebuah kisah benar.
Mungkin para akhowat maklum tentang kisah ‘Mama Bosan’ yang pernah dihebohkan di akhbar dan siaran-siaran radio minggu lalu, bukan?
Ya, kisah mama bosan tersebut ialah terkait dengan seorang ibu muda berusian 20-an yang kebosanan dengan tugasnya sebagai surirumah. Si ibu itu kemudiaannya menghabiskan masa di salah satu pusat siber selama 8 jam hampir setiap hari semenjak tahun lalu untuk bermain permainan komputer sehingga sanggup membiarkan anak kecilnya kelaparan.
Hati siapa yang tak sebak mengenangkan keadaan anak kecil tersebut. Tetapi, saya lebih lebih lagi berasa kesal dengan si ibu tersebut. Pada saya, kalau melihat senarai ilmu di atas pun dah cukup untuk seorang wanita yang ingin menjadi ibu yang hebat punya masa untuk dihabiskan dengan sia-sia, bukan?
Walaupun menjadi seorang surirumah (yang tak dibebani dengan tugas di tempat kerja), bagaimana kita boleh menjadi bosan sedangkan terlalu banyak yang boleh dilakukan, terutama dalam usaha menambah ilmu pengetahuan? Sama-sama kita renungkan, kalau tak pun ilmu itu tidak berguna untuk dirinya, ilmu itu pasti berguna untuk anak-anak kita! Allahuakbar…
Konklusinya, tidak dapat tidak, jom kita bertindak serius dalam menambahkan ilmu pengetahuan kita sekiranya kita serius untuk menjadi ibu kepada sebuah generasi yang hebat! Yosh!



No comments: